Selasa, 10 Mei 2011

Pintu Langit Sentiasa Terbuka

Posted by Aya Sophia at 8:15 PTG

“Berdoalah kepadaKu, pasti aku perkenankan untukmu” (Ghafir: 60)

Ini adalah gambaran hubungan yang akrab antara si pengharap dengan Yang Maha Memenuhi harapan. Apabila hubungan antara kedua-duanya akrab, maka segala harapan akan menjadi kenyataan denga izinNya.

Si pengharap adalah hamba manakala yang diharapkannya adalah Tuhannya. Sewajarnya seorang hamba yang mengharap itu menjadi hamba dalam erti kata sebenarnya seperti yang dituntut Tuhannya.

Tentu sangat memalukan jika dia hanya mengharapkan Tuhannya memenuhi segala harapannya, namun dalam masa yang sama dia tidak pula memenuhi ‘harapan’ Tuhannya untuk dirinya sendiri.


Mari Menjadi Hamba

Islam membebaskan manusia daripada penghambaan sesama sendiri dan segala karut-marut kepada penghambaan hanya untuk Allah Taala. Penghambaan yang menjadikan manusia itu terhormat dan terpelihara maruahnya.

Sehebat manapun seseorang, dia tetap seorang hamba. Jadi, lihatlah kehidupan di dunia ini pada kaca mata seorang hamba. Dia tidak boleh berbuat sesuka hati. Islam datang bersama-sama peraturan yang mesti dipatuh. Pilihan sama ada dia patuh atau ingkar. Sesiapa yang patuh akan selamat, sesiapa yang ingkar dia akan binasa kecuali dia tidak mati. Tetapi setiap orang akan mati.

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.” (az- Zariyat: 56)

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi” (al Baqarah: 30)

Seseorang tidak akan mampu menjadi khalifah yang baik apabila dia tidak terlebih dahulu menjadi hamba yang baik. Inilah hakikatnya. Kesedaran selaku seorang hamba akan menyedarkannya akan peranannya selaku khalifah yang sebenar di bumi Allah Taala.

Pintu Langit

Pintu langit iaitu rahmat Allah Taala sentiasa terbuka untuk dilalui doa-doa hamba-hambaNya.
Memohon pengharapan kepada Allah Taala melalui doa menjadi kelaziman hidup Rasulullah s.a.w. Berdoa itu satu ibadah yang sangat dianjurkan kepada orang-orang yang beriman, maka Rasulullah memberi tuntunan yang serapi-rapinya dalam hal ini.

“Doa itu merupakan ibadah.” (HR. Abu Daud dan Tirmizi)

“Doa yang sering dibaca oleh Nabi ialah, ‘Ya Allah, berilah kami di dunia kebaikan, dia akhirat kebaikan dan selamatkan kami daripada azab neraka.” (Muttafaq alaih daripada Anas r.a)

Doa di atas adalah untuk sekalian manusia. Baginda sering membacanya untuk diikuti umatnya kerana inilah salah satu puncak doa kepada Allah Taala. Ia juga tanda cinta baginda kepada umat. Sungguh, sangat banyak doa yang dapat dijumpai dalam al quran mahupun sunnah Rasulullah yang sahih. Sama-sama kita baca dan amalkan.

Baginda juga mengajar umat bahawa doa itu tidak boleh setakat berdoa sahaja. Doa itu perlu diiringi pula dengan usaha menurut kemampuan manusia. Baginda sendiri berjuang dan bertungkus-lumus terlebih dahulu, kemudian diiringi dengan doa.

Hakikat hidup ini bukan sekadar berdoa-doa sahaja tanpa berusaha. Baginda memperingatkan kita supaya jangan ada ‘istijal’ dalam berdoa kepada Allah Taala.

“Apa istijal itu, wahai Rasulullah?” seorang sahabat bertanya.

“Aku telah berdoa, tetapi doaku seperti tidak dimakbulkan,” jawab Rasulullah.

“Lalu dia merasa menyesal dan tidak lagi mahu berdoa,” kata Rasulullah menghuraikan lagi makna istijal itu.

Hidup manusia memang tidak sunyi daripada kepayahan dan harapan. Justeru, bermohonlah kepada Allah supaya diberi pertolongan dan bimbingan. Sedangkan Rasulullah selaku kekasihNya mengisi hidup baginda dengan doa, betapa lagi kita selaku hambaNya yang hina.

Berdoalah selagi pintu langit masih terbuka dan jangan pula menyalahi petujuk-petunjuk Rasulullah dalam berdoa.

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami orang yang rugi.” (al-A'raf: 23)

Waallahua'lam.

http://kalamfitrah.blogspot.com/2011/03/pintu-langit-sentiasa-terbuka.html
 

:: Contengan Musafir :: Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea